yaa selamat berpuasa bagi semua umat islam.. memandangkan ni bulan berpuasa, tetibe rase nak kongsi satu sifat yang mungkin korang tak sedar ade wujud dalam diri sendiri.. lumrah manusia bia dah ditegur baru kita sedar ksilapan kita.. renung-renungkan dan selamat beramal...
Sombong, bongkak, angkuh atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama, iaitu sifat mazmumah (sifat tercela @ keji). Sekelumit sifat itu menjadi kebencian dan kemurkaan Allah serta boleh menghalang kita mendapat balasan syurga.
Firman Allah yang bermaksud:Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina (Al-Mukmin:60)
Sifat sombong atau takbur boleh dikenali melalui dua jenis, iaitu takbur zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat orang lain.
Imam Al-Ghazali berkata : Orang yang takbur marah apabila ditegur sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar.
Takbur batin adalah membesarkan diri dalam hati dan ini maksiat hati yang dicela. Contohnya, iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam.Dengan angkuhnya ia enggan tunduk kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat iblis dan seluruh keturunannya. Takbur juga boleh dibahagi kepada tiga, iaitu takbur terhadap Allah, takbur terhadap rasul-Nya dan takbur sesama manusia. Takbur kepada Allah bermaksud tidak mempedulikan perintah Allah, tidak menghiraukan ancaman-Nya dan memandang rendah segala syariat dan peraturan-Nya.
Takbur terhadap Rasulullah s.a.w ialah enggan mengikut petunjuk dan sunnahnya. Orang Quraisy pada zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda anak yatim piatu. Orang Yahudi pula enggan berbuat demikian kerana baginda bukan daripada keturunan Bani Israel. Orang Yahudi berasa diri mereka lebih tinggi daripada orang lain, iaitu takbur sesama manusia. Mereka sering memandang rendah terhadap orang lain kerana menganggap diri mereka berilmu, kaya dan berpangkat sedangkan manusia dijadikan sama di sisi Allah.
Takbur adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit tidak boleh menjadi pendakwah kerana tindak tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut mendapat tempiasnya. Imam Ghazali memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur yang ada dalam diri manusia, iaitu :
1. Apabila berjumpa kanak2, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak2 belum dibebani dosa.
2. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah mereka juga lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita.
3. Apabila berjumpa orang alim, anggaplah dia lebih mulia kerana banyaknya ilmu di dadanya.
4. Apabila melihat orang jahil anggaplah mereka lebih mulia kerana berbuat dosa kerana kejahilan sedangkan kita dosa dalam keadaan mengetahuinya.
5. Apabila berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakan, mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita.
6. Apabila bertemu orang kafir katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.
SOMBONG atau takbur (takabbur) adalah sifat hati yang terkeji (madzmumi) dan merupakan satu daripada penyakit hati yang membawa akibat kebinasaan diri.
Pengertian tentang takbur dapat difahami daripada maksud beberapa hadis yang berikut :
· Rasulullah bersabda, "Dianggap sebagai takbur itu ialah menolak apa yang benar dan mengganggap hina kepada orang lain". (HR. Muslim).
· Bersabda Rasulullah saw kepada sahabatnya, Abu Dzar : "Takbur itu meninggalkan kebenaran dan engkau mengambil selain kebenaran. Engkau melihat orang lain dengan pandangan bahawa kehormatannya tidak sama dengan kehormatanmu, darahnya tidak sama dengan darahmu".
· Rasulullah saw bertanya kepada sekumpulan Sahabat, "Tahukah kamu, orang gila yang sebenar-benarnya?" Para Sahabat menjawab, "Tidak tahu, ya Rasulullah". Lalu Rasulullah menjelaskan, "Orang gila ialah orang yang berjalan dengan takbur, memandang rendah kepada orang lain, membusungkan dada, mengharapkan syurga sambil membuat maksiat dan kejahatannya membuat orang tidak aman dan kebaikanya tidak pernah diharapkan. Itulah orang gila yang sebenarnya".
Berdasarkan kisah di dalam al-Qur’an, makhluk yang pertama yang diserang dan menjadi mangsa penyakit takbur ialah iblis (la’natullah). Walaupun diperintah oleh Allah swt, iblis enggan menghormati Adam a.s (manusia dan nabi Allah yang pertama) kerana dia menganggap dirinya
lebih mulia daripada Adam. Katanya, "Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah" (QS 7:12).
Iblis lalu dilaknati oleh Allah swt kerana sifat degil dan takburnya itu. Sekurang-kurangnya dua akibat kecelakaan yang menimpa Iblis kerana ketakburnya :
Sifat takbur itu yang dapat dikesan daripada tutur kata dan perlakuan zahir itu berpunca daripada lintasan hati yang mengandungi rasa tinggi atau besar diri di samping merendahkan mertabat orang lain atau menolak kebenaran.
Mengikut Abu Yazid: "Seorang hamba itu selama masih mempunyai sangkaan, bahwa antara makhluk ada orang yg lebih buruk atau lebih jahat amalannya daripada dirinya sendiri, maka orang itu bersifat takbur". Lalu Abu Yazid ditanya, "Bilakah seseorang itu dapat disebut sebagai tawadhuk?" Abu Yazid menjawab, "manakala ia tidak tahu bagaimana kedudukan serta keadaan dirinya sendiri".
Lawan sifat takbur itu ialah tawaduk (tawadhdhuk atau dhi'ah), iaitu lintasan rasa rendah dan hina diri, termasuk pernyataan perbuatan dan lisan. Dengan menyuburkan sifat dan sikap merendah diri dan pasrah kepada Allah, seseorang akan dapat mencegah penyakit takbur dan juga ujub.
Takabur ada kalanya bersifat umum dan ada kalanya bersifat khusus.
Adapun Takbur Khusus bersifat tertutup, tidak mahu menerima, malah tidak bersedia untuk menerima kebenaran daripada orang lain.
kita hendaklah sentiasa ingat pengalaman pahit yang pernah menimpa diri kita sejak mula dilahirkan dan sentiasa menginsafi diri kita sebagai hamba Allah, sekurang-kurangnya sebagaimana yang dikatakan oleh ulamak: "Asal kamu daripada setitik mani (nuthfah) yang hanyir. Akhir kamu menjadi bangkai (mayat) yang busuk. Dan, diantara keduanya, sepanjang hayat, kamu menanggung kekotoran (najis) di dalam perut kamu".
Berbeza dengan sifat-sifat hati lain yang hanya mencederakan amal ibadat dan memudaratkan perkara "cabang" sahaja dalam agama, takbur memudaratkan perkara "pokok", mencederakan agama dan akidah.
Sekurang-kurangnya takbur mengakibatkan empat kebinasaan:
· terhalang daripada mendapat sebarang kebenaran dan buta mata hati dalam makrifat terhadap ayat-ayat yang mengandungi pengertian tentang hukum dan hikmat Allah. Allah Taala berfirman, mafhumnya: Aku akan memalingkan mereka dari ayat-ayat-Ku orang yang menyombongkan dirinya (takbur) di muka bumi tanpa alasan yang benar. (QS 7:146) Demikianlah Allah menguncikan hati setiap orang yang takbur lagi sewenang-wenang. (QS 40:35)
· dimurkai dan dibenci oleh Allah Taala, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membesarkan dirinya (takbur). (QS 16:23) Diriwayatkan : Nabi Musa a.s telah bertanya kepada Allah, "Hai, Tuhanku. Siapakah di antara makhluk-Mu yang paling Engkau murkai?". Allah Taala berfirman, mafhumnya: Orang takbur hatinya, kasar lidahnya, terkelip-kelip matanya, bakhil tangannya dan jahat perangainya".
· mendapat kehinaan dan deraan di dunia sebelum di akhirat. Bermadah Khatimul-Asham, "Jauhkan dirimu daripada mati dalam tiga keadaan, iaitu takbur, loba (tamak) dan ujub. Sesungguhnya, orang yang takbur itu tidak dikeluarkan oleh Allah Taala dari dunia sehingga dia diperlihatkan dulu penghinaan ke atasnya kepada sekurang-kurangnya keluarganya sendiri. Orang yang loba tidak dikeluarkan dari dunia melainkan setelah merasa amat memerlukan secebis roti dan seteguk air kerana terlalu lapar dan dahaga tetapi tak lalu ditelannya. Dan, orang yang ujub juga tidak dikeluarkan dari dunia melainkan setelah diperlihatkan dirinya bergelumang dengan air kencing dan tahinya sendiri". Gambaran penghinaan di akhirat pula terdapat dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a. Katanya, Rasulullah bersabda : "Orang-orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti kumpulan semut, dipijak-pijak oleh manusia kerana hinanya mereka di sisi Allah Ta'ala".
· diseksa di akhirat dan dimasukkan ke dalam neraka, sebagaimana firman Allah Taala (tersebut dalam Hadis Qudsi), mafhumnya: Kebesaran itu selindang-Ku dan 'adzmat (keagungan) itu kainku. Sesiapa merebut salah satu daripada yang dua itu, Aku masukkan dia ke neraka Jahannam.
Rasulullah bersabda : "Tiada akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi daripada sifat takbur" (HR. Muslim).
Mengikut hadis yang lain, Rasulullah bersabda : "Wahai Abu Dzar, barangsiapa mati dalam keadaan hatinya ada sebesar debu sahaja dari sifat takbur, dia tidak akan tercium bau syurga kecuali apabila aia bertaubat sebelum maut menjemputnya".
Biasanya faktor yang menimbulkan rasa takbur di hati seseorang itu ialah sesuatu kelebihan atau keistimewaan yang dimilikinya. Banyak faktornya. Antaranya sebagaimana yang disenaraikan oleh Imam al-Ghazali, iaitu : Ilmu, ibadah / amal, keturunan, kejelitaan atau ketampanan rupa paras, kekayaan harta benda, kekuasaan / kekuatan dan ramai pengikut / kaum keluarga.